Monday, 11 June 2012

Menyanyangimu Dalam Diam


Aku kasihkan dirimu dengan penuh kejujuran dan keikhlasan.
Sudah bertahun, kau adalah segala kekuatan dan ketabahan yang mendorong setiap apa yang aku hadapi.  Dan hingga kini kau tetap menjadi tiang untuk aku terus bersandar walaupun tidak seteguh dulu.

Menafikan dirimu adalah yang terbaik buatku, tak mungkin…Kau memang sempurna buatku. Setiap inci yang Tuhan ciptakan padamu sungguh sempurna di mataku. Dari rupa hingga ke hati.
Kau ajarkan aku setiap apa yang aku tak pernah tahu. Pandangan semua menjadi cantik dan indah bila bersama. Hingga saat ini kesetiaan masih bersamamu. Kau adalah duka dan laraku.

Demi Allah, tiada lelaki yang mampu membuat aku tersenyum sepertimana yang kau lakukan.
Setiap apa yang kita lakukan sepanjang bersama, satu pun detik aku tak pernah lupa.Aku tak pernah salahkan kau andai terlupa, sebab aku tak pasti kalau kau perlukan itu semua.

Hari demi hari,perubahan semakin ketara. Satu persatu kasihmu hilang.
Aku tak salahkan dirimu kalau tak faham akan perasaan yang sedang aku alami. Jauh di sudut hati, aku sangat mahukan kau berada di dalam situasi ini. Namun, aku tak pernah sanggup meminta untuk itu terjadi, aku tak mahu kau merana sepertimana aku merana. Kesakitan yang ada, kau takkan mampu hadapi, itu aku pasti. Apa lagi kelukaan, kau tak mungkin sanggup menanggung…

Kelukaan yang ditinggalkan akan menjadi parut yang tak pernah dan tak mungkin akan hilang… Kau tahu betapa terlalu beratnya tangan dan hati ini untuk melepaskanmu…

Aku mengangkatmu terlalu tinggi..Hingga aku rasakan kau adalah lelaki satu dalam seribu..

Pada pandangan matamu, aku mungkin boleh menghadapi keadaan ini, namun jika kau mampu melihat dengan hati, apa yang ada dalam diri ini, hanya airmata dan kesedihan.

*****

Kalau ini ujian Tuhan buatku, maka aku berjaya menghadapi kerna sampai saat ini aku masih terus berjuang untuk mempertahankan kasih yang aku ada buat dirimu. Kesakitan dan kelukaan aku pendamkan agar kasih ini terus wujud antara kita. Tapi sayangnya, hanya aku yang bertahan, dan kau tetap berlalu.

Walaupun ini akhir perjalanan kasih kita, aku tetap doakan kejayaan dan kebahagiaan akan sentiasa bersamamu. Jangan pernah risau, aku takkan doakan kegagalan dan kedukaan buatmu. Percayalah, kau takkan pernah sanggup untuk menghadapi itu semua. Dan aku tak pernah mampu untuk melihat kau bersedih.

Andai kata di izinkan Tuhan, kita kembali bersama. Aku harap hari dan saat itu aku mencintai dan menyayangimu ikhlas dan sepenuhnya kerana Allah. Sebab aku pasti, hanya kerana Allah, cinta itu akan terus subur dan sentiasa kekal selamanya. Aku pasti kau tahu, yang aku mahukan dirimu menjadi kekasih mutlak di atas bumi Tuhan ini dan terus hingga ke Syurga.

Aku tak pernah berhenti menanti dan berharap..

Hanya satu pertanyaan buatmu,
Adakah aku tak layak bahagia seperti mana kau bahagia?

Segenap ruang ciptaan Tuhan dan masa yang dibekalkan,yang pernah aku kongsikan, aku kembalikan sepenuhnya buatmu…

Doakan airmata ini akan segera berhenti, luka ini akan berhenti berdarah dan sakit ini akan berhenti menyeksa..

Halalkan setiap sen, setiap makan dan minum yang pernah aku ambil darimu.
Maafkan setiap kesalahan dan kesakitan yang pernah aku sebabkan..

Dan,
Izinkan aku untuk terus menyayangi dan merindukanmu seperti dahulu. Tak perlu kau tahu bila sayang dan rindu itu ada, cukup sekadar mengizinkan ia melalui hatimu.

Biarkan aku menyayangi dan mencintaimu dalam diam~

--iznabilahaj--






No comments:

Post a Comment